suria

Lelaki Maut Ketika Lintas Jalan Di Simpang Ampat, Nibong Tebal

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan di Jalan Besar, Simpang Ampat di sini kira-kira 1.10 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata mangsa M. Mathivanan, 57, yang tinggal di Taman Cegar iaitu tidak jauh dari tempat kemalangan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Mangsa yang berjalan kaki sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Cegar selepas keluar minum bersama rakan-rakannya.

"Ketika melintas jalan, sebuah kenderaan telah melanggar mangsa dan meninggalkan tempat kejadian. Polis sedang kenal pasti kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5824222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain