suria

Khairy Bidas Guan Eng Enggan Ulas Kenyataan Koo Ham

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada Khamis membidas tindakan Setiausaha DAP yang enggan mengulas kenyataan pemimpin partinya dari Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan bantahan umat Islam terhadap filem menghina Nabi, 'Innocence of Muslims'.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan dalam twitter Koo Ham amat jelas walaupun beliau mengelak dan merasakan bahawa ia ditulis dalam bentuk soalan kerana ia disifatkan sebagai pendirian peribadi pengerusi DAP Perak itu.

"Keengganan Lim Guan Eng untuk memberi kenyataan atau pun menegur Ngeh Koo Ham, merupakan gambaran yang jelas bagi saya bahawa ini merupakan sentimen dan pendirian parti itu sendiri.

"Bagi saya sekiranya 'bos' DAP sendiri kalau dia bertanggungjawab, dia akan mengeluarkan kenyataan tanpa bersyarat bahawa apa yang dikatakan Koo Ham itu tidak betul dan tidak boleh diikuti," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai Guan Eng yang enggan mengulas kenyataan Koo Ham tetapi sebaliknya meminta supaya kenyataannya yang mengutuk penerbitan dan penyiaran filem itu disiarkan terlebih dahulu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mempersoalkan kenyataan Guan Eng dengan menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Bagi saya, kenyataan apakah itu? Kalau anda (Guan Eng) sebenarnya prihatin tentang sensitiviti umat Islam, anda buat saja kenyataan bahawa tindakan Koo Ham itu tidak betul dan ia tidak mencerminkan parti.

"Tetapi dia masih nak bermain politik. Dia mahu kenyataan dia disiarkan terlebih dahulu baru mengulas tentang Koo Ham. Ia sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya.

Beliau menambah, isu tersebut menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di dunia dan perlu ada kenyataan yang jelas oleh parti DAP.

“Tetapi itu pun tidak dapat dibuat oleh Lim Guan Eng,” kata Khairy.

Sebuah akhbar pada Khamis melaporkan bahawa Koo Ham tidak akan memohon maaf berhubung kenyataannya yang mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem ‘Innocence of Muslims’.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu dipetik sebagai berkata, tidak timbul isu minta maaf kerana beliau hanya melontarkan persoalan kenapa orang Islam harus buang masa dan tenaga bantah tindakan seorang individu.

Koo Ham pada Isnin menimbulkan kontroversi apabila menulis di laman Twitter miliknya yang berbunyi "Khairy wants Muslims to protest against Sam Bacile. For Islam or for his political gains? Are Muslims wasting too much time and energy on this? (Khairy nak orang Islam bantah Sam Bacile. Untuk Islam atau kepentingan politiknya?Tidakkah orang Islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk ini?).

Artikel Sebelum

Artikel Lain