suria

Kerajaan Perketat Penggunaan Perkataan Antarabangsa Pada IPTS

KUANTAN: Kementerian Pengajian Tinggi kini memperketatkan penggunaan perkataan "antarabangsa" atau "international" pada nama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan ianya benar-benar berkualiti dan berstandard tinggi.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Hou Kok Chung berkata selaras menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi serantau, IPTS yang menggunakan perkataan antarabangsa perlu mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menawarkan program yang berkualiti dan mematuhi standard antarabangsa.

"Ia juga termasuk menawarkan kampus yang mempunyai ciri-ciri yang mencerminkan sebuah IPTS yang berstatus antarabangsa, kampus yang mempunyai blok-blok pentadbiran, fakulti, bilik-bilik kuliah, dewan besar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis kementerian itu bersama IPTS Zon Timur di sini, Khamis.

Beliau berkata selain itu, IPTS terbabit juga perlu mempunyai padang dan dewan tertutup untuk sukan dan riadah, selain tempat-tempat untuk pelajar berkumpul dan berbincang.

Beliau berkata pihak kementerian juga sedang mengkaji daripada sudut perundangan untuk melihat kemungkinan menarik balik perkataan antarabangsa daripada IPTS yang masih beroperasi di rumah-rumah kedai.

"Sebelum penubuhannya, semua IPTS berkenaan, telah memberi komitmen bertulis, penempatan itu (rumah kedai) hanya sementara, malangnya, ada yang masih beroperasi melebihi 15 tahun di rumah kedai," katanya.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan pihak kementerian, terdapat 48 IPTS di seluruh negara masih beroperasi di rumah-rumah kedai.

"Pihak kita sedang membuat pemantauan khas terhadap semua IPTS ketika ini, dan kita sedang mengkaji dari sudut perundangan sama ada boleh menarik balik perkataaan antarangsa daripada IPTS terbabit yang masih beroperasi di rumah kedai itu," kataya.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 109 IPTS di seluruh negara menggunakan perkataan "antarabangsa" atau "international" untuk nama rasmi IPTS masing-masing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain