suria

Kelab Veteran MIC Dilancar

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel pada Khamis melancarkan Kelab Veteran MIC bertujuan menghargai perjuangan dan pengalaman mereka dalam parti seiring dengan usaha memperkukuhkan sokongan masyarakat India terhadap parti itu.

Beliau berkata, golongan veteran tidak harus dipinggirkan dalam perjuangan parti kerana mereka masih boleh memberi cadangan bagaimana meningkatkan keyakinan kaum India susulan perubahan politik yang berlaku selepas pilihan raya umum 2008.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kelab itu di sini yang turut dihadiri bekas presiden Datuk Seri S.Samy Vellu.

Dalam pada itu, beliau berkata MIC bercadang menganjurkan satu perhimpunan melibatkan 20,000 orang anggotanya di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menunjukkan parti itu masih mendapat sokongan kaum India.

Bagaimanapun, tarikh perhimpunan itu belum ditetapkan, katanya.

Sementara itu, Samy Vellu, yang juga Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, berkata MIC perlu mengambil langkah strategik untuk terus memperkasakan parti itu.

"Antaranya ialah menarik sokongan golongan muda dan tua, mendekati masyarakat India menerusi kerja kebajikan selain mendapatkan cadangan daripada golongan veteran MIC," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau bersedia memberi idea demi memastikan parti itu memperoleh keputusan cemerlang pada pilihan raya akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain