suria

Berhenti Mempermainkan Bendera Negara - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri pada Khamis meminta pihak-pihak tertentu supaya berhenti mempermainkan isu bendera negara kerana ia adalah perbuatan yang tidak menghormati Jalur Gemilang.

Beliau merujuk kepada perbuatan pihak-pihak yang cuba mengibar bendera 'Sang Saka Malaya' dalam majlis-majlis tertentu sejak beberapa minggu lalu.

"Ia seolah-olah perbuatan menghina kedaulatan negara ini," ujar Najib kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung di Menara Datuk Onn, PWTC, petang Khamis.

Katanya lagi, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat negara ini.

"Mereka yang terlibat tidak seharusnya memperlekehkan Jalur Gemilang kerana ia melambangkan kesucian dan kedaulatan negara," katanya.

Najib yang juga presiden Umno berkata, pihak yang terlibat seharusnya menanamkan rasa cinta dan mempertahankan maruah negara bukan melakukan perkara sebaliknya.

Pada 30 Ogos lalu, sekumpulan anak muda telah mengibarkan bendera Sang Saka Malaya sewaktu perhimpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka sekaligus mengundang provokasi dan juga reaksi daripada orang ramai.

Artikel Sebelum

Artikel Lain