suria

Bayi Perempuan Berusia Empat Bulan Mati Tersedak Susu

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan mati selepas tersedak susu di rumah pengasuhnya di Bandar Baru Bangi, dekat sini pagi Rabu.

Nuryl Adriana Mohd Azlan disahkan telah meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Ayah bayi, Mohd Azlan Mat Yusof, 34, seorang penjawat awam di Putrajaya berkata, beliau mengetahui kejadian menimpa anaknya itu selepas dihubungi pengasuh itu yang segera membawa anaknya ke hospital selepas menyedari tubuh Nuryl tidak bergerak pada kira-kira 9 pagi.

"Saya tidak menyalahkan pengasuh kerana sebelum ini anak saya yang pertama memang dijaga dengan baik oleh pengasuh yang sama dari umur tiga bulan hingga sekarang lima tahun.

"Malam tadi Nuryl sihat dan bermain seperti biasa, tetapi hari ini benda hendak jadi, saya terima dengan reda," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Serdang, dekat sini Rabu.

Mohd Azlan berkata Nuryl yang merupakan anak bongsu dari dua beradik akan dibawa balik ke kampungnya di Kamunting, Taiping Perak hari ini untuk dikebumikan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan tiada unsur jenayah atau kecuaian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain