suria

Universiti Khusus Untuk Sukan Perlu Diwujud - Razali Ibrahim

SHAH ALAM: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim pada Rabu berkata, sebuah universiti khusus untuk sukan perlu diwujudkan untuk memberi manfaat kepada para atlet negara dan generasi akan datang.

Beliau berkata, cadangan itu penting untuk dilaksanakan bagi melengkapkan pembangunan sukan dalam negara dan perkara itu telahpun dibincangkan di mesyuarat peringkat kementerian.

"Sebagai permulaan, kementerian sedang melihat untuk mengadakan program berkembar dengan universiti-universiti sukan di luar negara untuk mengadaptasikan model digunakan di universiti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2012 di Universiti Teknologi Mara di sini Rabu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, kementerian menerusi program berkembar bakal mengadaptasikan model digunakan Universiti Sukan Kebangsaan Korea (KNSU), satu-satunya universiti sukan di Korea Selatan.

Media melaporkan universiti itu menjadi pilihan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) berikutan kecemerlangan universiti itu melahirkan pemenang pingat di Sukan Olimpik yang lalu dan juga tenaga pengajarnya yang hampir semuanya menggunakan khidmat bekas atlet.

Sementara itu, Razali yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata, Pemuda Umno akan mendekati seramai 130,000 mahasiswa yang berminat berpolitik di kawasan masing-masing.

Beliau berkata pihaknya akan mengagihkan senarai mahasiswa itu mengikut kawasan Parlimen sebagai salah satu usaha Pemuda Umno untuk membentuk barisan pemimpin pelapis dalam Umno.

Razali bagaimanapun berkata, perkara itu hanya akan dibuat selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda sepenuhnya. - BERNAMA

Artikel Lain