suria

Penganggur Bebas Tuduhan Bunuh Bapa Selepas Didapati Tidak Waras

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu membebaskan seorang penganggur daripada tuduhan membunuh bapanya tahun lepas, setelah didapati tidak waras.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan Mohd Adli Saman, 34, dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan sehingga mendapat pengampunan Sultan Kedah.

Mohd Zaki berkata, semasa dipanggil membela diri, tertuduh memilih untuk berdiam diri.

"Secara umumnya seseorang yang memilih untuk berdiam diri perlu disabitkan dengan kesalahan.

"Namun berdasarkan pemerhatian dan temu bual (pakar psikatri) dengan tertuduh dan keluarganya, mendapati tertuduh tidak sedar dan tidak waras bahawa apa yang dilakukannya ketika kejadian adalah salah di sisi undang-undang," katanya.

Mohd Adli didakwa membunuh bapanya, Saman Sirun, 60, di sebuah rumah di kampung Pasir Puteh, Mukim Tualak dekat Kuala Nerang antara pukul 7 hingga 7.30 malam 11 Ogos 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyaf Falina Abdullah manakala tertuduh diwakili Ali Munawar Razak. - BERNAMA

Artikel Lain