suria

Pembunuh Pakar Bedah Sydney Dihantar Pulang Ke Malaysia Tidak Lama Lagi

MELBOURNE: Rakyat Malaysia yang dipenjara berhubung pembunuhan seorang pakar bedah jantung Sydney, Dr Victor Chang, diberikan parol pada Rabu.

Liew Chiew Seng, 69, akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur tiga minggu lagi.

Dia dijatuhi hukuman penjara 26 tahun kerana melepaskan dua tembakan yang meragut nyawa Dr Chang dalam cubaan memeras ugut berdekatan rumah mangsa di pinggir bandar Mosman, Syedney, pada 1991.

Pihak Berkuasa Parol negeri (SPA) pada Rabu memutuskan bahawa Liew, yang melepaskan tembakan maut itu, perlu dibebaskan lima tahun sebelum mencapai hukuman maksimum kerana membunuh, lapor Australian Associated Press (AAP).

Liew dihukum menjalani tempoh minimum 20 tahun parol, yang berakhir Julai lepas. SPA mengumumkan hasratnya untuk membebaskan Liew pada Mei tetapi mangsa -mangsa kumpulan jenayah dan Peguam Negara New South Wales Greg Smith menentang pembebasannya semasa perbicaraan.

Liew, yang mengalami penyakit Parkinson peringkat teruk, hadir pada Rabu melalui sidang video pada pendengaran awam di Sydney sebelum diberi parol.

Dia meminta untuk membacakan kenyataan yang disediakan mengandungi "hanya beberapa ayat untuk memohon kelonggaran".

"Saya tidak akan membuat sebarang aduan, saya tidak akan mempertahan diri sendiri," katanya melalui seorang penterjemah.

Permohonan bagi membaca kenyataan itu ditolak, tetapi peguam Liew, Will Hutchins memberitahu pendengaran itu mengenai keperluan segera untuk diberi parol bagi membolehkannya dihantar pulang sebelum keadaan kesihatannya terus merosot.

Liew percaya penyakit yang dialaminya adalah karma atas pembunuhan itu dan dijangka perlu dibantu oleh isteri dan anaknya di Malaysia.

Pengerusi SPA Hakim Ian Pike berkata pihak berkuasa begitu berhati-hati memberi pertimbangan kepada semua bahan yang dikemukakan terhadap pembebasan Liew.

"Dengan mengambil kira prinsip bahawa kepentingan awam adalah perkara utama, pihak berkuasa memutuskan pembebasan banduan itu adalah wajar," kata Hakim Pike seperti yang dipetik oleh AAP sebagai memberitahu pendengaran itu.

Beliau juga menyebut kesan pembunuhan itu terhadap keluarga Dr Chang dan negara.

"Sementara seluruh Australia dan sebaliknya, berkabung atas kehilangan seorang yang begitu banyak menyumbang kepada kesihatan negara, keluarganya tentu tertekan dengan kesedihan atas kehilangan itu," kata Hakim Pike.

"Kami menghulurkan rasa simpati yang tulus ikhlas ke atas keluarga Dr Chang, sahabat, rakan sekerja dan masyarakat dan berharap supaya yang lain meneruskan dengan usaha yang mana sumbangannya terputus secara tragik.

"Dia adalah satu legasi yang mana dunia akan terus mendapat manfaat," katanya.

Liew akan dibebaskan antara 3 dan 10 Oktober dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Imigresen sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Rakannya yang terlibat dalam pembunuhan itu, Phillip Lim Choon Tee, dihantar pulang ke Malaysia pada 2010 setelah menjalani hukuman penjara 18 tahun daripada hukuman maksimum 24 tahun yang dikenakan terhadapnya. - BERNAMA

Artikel Lain