Nelayan Warga Emas Ditemui Mati Lemas, Dipercayai Terjatuh Ke Laut - Semasa | mStar

Nelayan Warga Emas Ditemui Mati Lemas, Dipercayai Terjatuh Ke Laut

KUALA SELANGOR: Seorang nelayan warga emas yang turun ke laut sejak Isnin lepas, ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut berhampiran perairan Kuala Selangor di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Muhd Taib Ahmad berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian terapung di Jeti Sungai Nila kira-kira 2.30 petang.

Beliau berkata gerakan mencari Lim Tian Hock, 60, dijalankan selepas bot milik mangsa serta anak lelakinya, Lim Hua Lee, seorang orang kelainan upaya (OKU), ditemui berhampiran rumah api di perairan Kuala Selangor pada kira-kira 9 malam, Selasa.

"Kita menerima laporan daripada adik ipar mangsa pukul 10.30 malam, semalam yang memaklumkan tentang penemuan bot dan anak lelaki mangsa," katanya di sini hari ini. Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Muhd Taib juga berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada 8.30 pagi tadi membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Rakan Fish serta kira-kira 20 nelayan tempatan.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Tan Ah Hock, 39, berkata ketika bot mangsa ditemui, hanya terdapat Hua Lee, 31, yang kelihatan terpinga-pinga dalam bot berkenaan.

Beliau berkata Hua Lee kemudian menunjukkan isyarat tangan bagi memaklumkan bapanya terjatuh ke dalam laut.

Tan berkata gerakan mencari abangnya dijalankan selepas anak sulung mangsa memaklumkan bapanya tidak pulang selepas keluar kira-kira pukul 7 pagi Isnin lepas.

"Anak buah saya bimbang, lebih-lebih lagi petang Isnin lepas berlaku kejadian angin kencang dan ribut di kawasan perairan, dan bapa serta adiknya tidak pulang sehingga semalam.

"Saya dan beberapa nelayan mengambil keputusan mencari mangsa selepas hanya menemui bot dan anaknya, saya kemudian membuat laporan polis malam, semalam," katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain