suria

Muhyiddin Tiba Di China Untuk Hadiri CAEXPO

NANNING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini untuk lawatan rasmi empat hari bagi menghadiri Ekspo China-Asean (CAEXPO) kesembilan.

Ketibaan beliau disambut Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin, Naib Gabenor Rantau Autonomi Guangxi Zhuang Lin Nianxiu dan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Hal-Ehwal Luar Guangxi Song Haijun.

Turut mengiringi beliau Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee serta Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, dijadual merasmikan Pavilion Malaysia di tapak ekspo esok sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Naib Presiden China Xi Jinping.

Beliau juga akan menerima kunjungan hormat Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China bagi Guangxi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap bagi Kongres Rakyat Guo Shengkun.

Muhyiddin dijangka menghadiri taklimat bersama wakil Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia berhubung kemajuan taman itu. Sementara itu, Iskandar berkata tujuan expo tersebut adalah untuk memberi peluang kepada negara Asean berdialog, bekerjasama dan menjalin hubungan rapat dengan China.

Beliau berkata sejumlah 136 peserta dari Malaysia akan mengambil bahagian dalam pameran itu.

Muhyiddin dijadual pulang ke tanah air pada 21 September. - BERNAMA

Artikel Lain