suria

MB Kedah Minta PKR, DAP Segera Selesai Masalah Agihan Kerusi

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP negeri supaya segera menyelesaikan kemelut pengagihan kerusi melibatkan kedua-dua parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Kena segera runding, sebab PRU sudah dekat. Saya percaya tiada masalah serius dalam rakan Pakatan Rakyat (PR), ia boleh diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Azizan berkata setakat ini, kedua-dua pihak belum mengadakan pertemuan untuk membincangkan perkara itu dan beliau yakin rundingan berkenaan mampu menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak sekian lama.

"Mereka belum duduk berbincang. Saya rasa tiada masalah, PKR sudah pun menyatakan kesediaan untuk berunding dengan DAP," katanya.

Ahad lalu, Pengerusi DAP Kedah Lee Guan Aik meminta PKR segera mengadakan perbincangan berhubung agihan kerusi bertanding pada PRU-13 ekoran perkara itu kini dikembalikan kepada Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Kedah untuk diselesaikan.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata mereka belum mendapat arahan daripada pimpinan pusat untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan perkara itu di peringkat negeri. - BERNAMA

Artikel Lain