suria

Lima Suspek Direman Bantu Siasatan Kes Bunuh Di Gurun

SUNGAI PETANI: Lima suspek ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang penoreh getah selepas berlaku satu pergaduhan berhampiran rumah mangsa di kawasan Ladang Bukit Lembu, Gurun, dekat sini, malam Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Ong Aik Chang berkata semalam pada mulanya polis menahan empat lelaki dan direman sehingga 25 September ini bagi membantu siasatan dan kemudian seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes terbabit ditahan pada hari sama iaitu selepas penahanan empat rakannya itu.

"Kesemua lelaki yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kita turut menahan lapan lain yang dipercayai terlibat dengan pergaduhan pada malam itu dan siasatan akan dijalankan terhadap mereka mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an," katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, K. Kalyani, 57, maut akibat terkena tembakan di bahagian pipinya, manakala tiga lelaki termasuk seorang anak mangsa, T. Kathiraven, 23, cedera akibat ditetak oleh kumpulan yang terlibat dalam pergaduhan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, ketiga-tiga mangsa yang cedera akibat ditetak, masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. - BERNAMA

Artikel Lain