suria

Ketua Jabatan Institut Pendidikan Guru Didakwa Rasuah

JOHOR BAHRU: Seorang ketua jabatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu terhadap pertuduhan menerima rasuah daripada seorang kontraktor berjumlah RM37,069.40, tiga tahun lepas.

Azmi Hassan, 49, yang bertugas di Jabatan Sains, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, di sini didakwa menerima suapan itu menerusi sekeping cek Maybank bernombor 025330 daripada Sulaiman Adom, 42.

Sulaiman mendapat kontrak kerja naik taraf sistem kumbahan di flat pekerja bernilai RM198,927 dan kerja ubah suai serta naik taraf flat pekerja kepada kediaman di kampus berkenaan yang bernilai RM198,999.

Dia yang mempunyai lima anak dan ditangkap pada 7 Ogos lepas itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di alamat bernombor 02-04, Larkin Indah, di sini pada 11 pagi, 24 Ogos 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 24 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik manakala tertuduh diwakili peguam Vijaya Sandran. - BERNAMA

Artikel Lain