suria

Kementerian Pengajian Tinggi Jawab Tuntutan Mahasiswa Protes P/Raya Kampus

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menegaskan, segala tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan mahasiswa berhubung isu pilihan raya kampus baru-baru ini sebagai sesuatu yang sudah dijangka.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tuntutan seumpama ini akan kedengaran setiap kali menjelang pilihan raya kampus.

“Ini adalah perkara biasa yang mereka (kumpulan mahasiswa ini) lakukan menjelang pilihan raya kampus. Malah mereka tetap melakukan protes walaupun telah dimaklumkan awal iaitu sejak awal tahun ini bahawa terdapat universiti yang terpaksa mengenjak tarikh pilihan raya kampus mereka atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan," katanya kepada para pemberita ketika ditemui di sini selepas menghadiri satu majlis.

Bagaimanapun Khaled menjelaskan, terdapat beberapa tuntutan kumpulan mahasiswa itu yang diterima dan dilaksanakan manakala tuntutan lain seperti tarikh pilihan raya pelajar ditetapkan kepada satu tarikh tunggal adalah mustahil untuk dilaksanakan.

“Semua pihak harus sedar yang pilihan raya kampus ini diadakan setiap tahun dan bukannya sepertimana pilihan raya umum yang diadakan setiap lima tahun sekali," tegas Khaled.

Tambah Khaled, setiap pengurusan universiti berhak menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kampus kerana masing-masing mempunyai kalendar akademik yang berbeza.

“Sebagai contoh, ada universiti yang mengadakan pilihan raya kampus pada 20 September sementara ada universiti tidak dapat mengadakannya pada tarikh berkenaan dan hanya mempunyai ruang untuk berbuat demikian 25 September,” jelas Khaled.

Oleh yang demikian, katanya, adalah mustahil untuk semua pihak menyeragamkan tarikh pilihan raya mereka pada satu tarikh tunggal.

“Dua tahun lalu terdapat permintaan oleh pelajar agar dibenarkan satu kumpulan pemerhati bebas menyaksikan berlangsungnya pilihan raya kampus di Universiti Malaya dan permintaan mereka ini pihak universiti benarkan.

“Dan kesimpulannya, pemerhati bebas ini merumuskan yang pilihan raya berkenaan telah berjalan dengan adil dan saksama. Jadi di manakah yang tidak adil yang mereka kini dakwa dan mahu reformasi pilihan raya kampus dilakukan terlebih dahulu," kata Khaled lagi.

Khaled berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa kumpulan mahasiswa yang mengadakan protes di Dataran Merdeka Ahad lalu dan menuntut agar reformasi pilihan raya kampus terlebih dahulu dilakukan sebelum berlangsungnya pilihan raya berkenaan.

Mereka juga menuntut agar pilihan raya kampus diadakan serentak di seluruh negara dengan satu tarikh tetap ditentukan terlebih awal.

Mereka juga mahu agar satu bentuk dana diberikan kepada mahasiswa untuk berkempen sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam hal berkenaan, Khaled berkata ia bukanlah menjadi amalan pihak kementerian untuk menyalurkan dana kepada calon-calon yang bertanding.

Artikel Lain