suria

Iqbal Khan Terima Anugerah Diraja Dalam Kewangan Islam

Iqbal Khan
Iqbal Khan
Iqbal Khan

KUALA LUMPUR: Tokoh bank Islam terkemuka, Iqbal Khan, diumumkan sebagai penerima kedua Anugerah Diraja dalam Kewangan Islam, anugerah berprestij, atas kepimpinannya yang berdedikasi serta kepimpinan luar biasa beliau dalam meningkatkan pertumbuhan global dan akses kepada kewangan Islam.

Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kepada Iqbal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif firma pelaburan Islam antarabangsa, Fajr Capital, pada malam gala, Rabu.

"Krisis kewangan semasa mengetengahkan mengenai perlunya meningkatkan nilai, etika dan tanggungjawab sosial korporat dalam kewangan, pelaburan dan modal, yang merupakan tindakan yang penting untuk kestabilan masa depan," kata Iqbal pada sidang media di sini, Rabu.

Iqbal yang terlibat dalam kewangan Islam selama lebih dua dekad, berkata Malaysia mempunyai asas untuk memain peranan sebagai peneraju dalam kewangan Islam berdasarkan komitmen dan produknya yang kompetitif.

Sementara itu, Pengerusi Juri Anugerah Diraja Tun Musa Hitam berkata 31 pencalonan diterima dari seluruh dunia, termasuk dari Amerika Syarikat, Timur Tengah, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Asia Pasifik.

"Kami mengambil kira semua aspek yang berkaitan dengan sumbangan beliau dalam kewangan Islam yang memberi inspirasi untuk generasi akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain