suria

Enam Iklan Ubat Palsu Disiasat Di P.Pinang

GEORGE TOWN: Cawangan Penguatkuasa Farmasi Pulau Pinang sedang menyiasat enam kes iklan ubat yang memaparkan maklumat kurang tepat serta mengelirukan di negeri itu setakat Ogos lepas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Kuatkuasa) Cawangan Penguatkuasa Farmasi negeri Nor Aniza Ahmad berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak sembilan kes dilapor dan tujuh dibawa ke mahkamah.

"Kesalahan yang dilakukan melalui iklan itu adalah melibatkan perkhidmatan. Perkhidmatan yang mengatakan boleh merawat penyakit yang tidak dibenarkan seperti penyakit jantung, kecacatan buah pinggang.

"Selain itu, iklan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan Lembaga Iklan Ubat. Kesalahan-kesalahan sebegini yang akan diambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog antara Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri dan media, di sini, Rabu.

Turut hadir pada sesi dialog itu adalah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Mohd Yunos Shaari.

Nor Aniza berkata setakat ini tindakan hanya dikenakan kepada tuan punya iklan.

Katanya cawangan itu sentiasa memantau iklan berkaitan ubat-ubatan termasuk ubat pelangsingan badan dan sebagainya yang disiar media massa termasuk menerusi Internet.

Nor Aniza berkata pengiklan yang tidak mematuhi undang-undang boleh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Yunos berkata kerjasama media massa sangat diperlukan dalam membendung iklan palsu daripada terus tersebar kepada orang awam kerana iklan sedemikian mampu mempengaruhi pengguna sekali gus boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan pengguna.

Beliau berkata media massa berperanan untuk menyekat iklan yang didapati melanggar peraturan dan boleh membantu dalam memberi kesedaran kepada pengguna. - BERNAMA

Artikel Lain