suria

Operasi Semata-Mata Sukar Kekang Mat Rempit - JPJ Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)Terengganu mengakui tindakan operasi semata-mata tidak akan dapat mengekang kegiatan rempit oleh samseng jalanan di negeri itu.

Sebaliknya, kata Pengarah JPJ negeri Abdul Rahman Emang Anyie, jabatan itu memerlukan bantuan semua pihak terutamanya ibu bapa, dalam usaha membanteras kegiatan rempit yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

"Ops bersepadu sememangnya bertujuan membanteras kegiatan rempit di negeri ini, namun mereka ini seolah-olah tidak serik," katanya kepada Bernama, di sini, Selasa.

Katanya aktiviti itu menjadi trend dalam kalangan remaja Terengganu kini yang menggunakan peluang hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu untuk 'merempit', sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Abdul Rahman berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi panas yang menjadi tumpuan samseng jalanan terbabit dan akan menggiatkan operasi menggempur mereka pada hari minggu. "JPJ Terengganu tidak akan bertolak ansur kepada mereka yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang jalan raya," katanya.

Antara jalan tumpuan samseng jalanan ini ialah Jalan Durian Burung, Jalan Padang Midin dan jalan masuk ke pusat bandar, katanya.

Beliau berkata selain operasi pada hujung minggu, pihaknya juga akan bekerjasam dengan agensi lain termasuk polis untuk mengadkan oeprasi pada hari lain.

Operasi pada hujung minggu akan bermula pada pukul 4 petang dan berakhir pada pukul 2 pagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain