suria

Objek Menyerupai Janin Manusia Ditemui Di Kuarters KLIA

NILAI: Satu objek menyerupai janin manusia ditemui di tangga flat Block C, Kelompok 8, Kuarters KLIA dekat sini pagi Selasa.

Pegawai Imigresen Saiful Nizam Abas, 40, berkata beliau mulanya melihat tompokan darah di lantai hadapan rumahnya di tingkat bawah sebelum membuat pemeriksaan lanjut dan menemui janin itu di tingkat satu flat itu.

"Saya temui objek itu pada kira-kira 8.30 pagi dan segera memberitahu kejadian itu kepada jiran yang lain dan mereka menyangkakan janin berkenaan adalah janin kucing sebelum saya bertindak menghubungi polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya pihak polis bersama anggota forensik tiba di lokasi tidak lama kemudian sebelum mengambil janin tersebut.

Beliau difahamkan daripada jururawat Klinik Kesihatan Kuarters KLIA yang turut tiba di lokasi bagi membantu siasatan bahawa berdasarkan pemerhatian awal janin itu adalah janin manusia berusia dalam lingkungan tiga bulan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan penemuan janin itu berkata pihaknya masih menunggu keputusan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berhubung status sebenar janin itu.

Bagaimanapun, katanya kertas siasatan bagi kes itu dibuka mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7583222. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain