suria

MAIK & Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Lakukan Sesuatu Lain Dari Yang Lain

PENULIS ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang diterajui oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra selaku Yang Dipertuanya kerana telah memperkenalkan biasiswa khas untuk menghantar pelajar cerdik dari kalangan keluarga yang susah di Kelantan melanjutkan pelajaran di tiga buah universiti terbaik di United Kingdom.

Ketiga-tiga universiti itu ialah London College University, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Laporan dari Kota Baru menyebut, setakat ini, 10 orang pelajar telah terpilih untuk menyambung pengajian mereka di ketiga-tiga buah universiti berprestij ini atas perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan juga Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra.

Menurut Tengku Dr Muhammad Faiz, keputusan untuk mewujudkan biasiswa khas bagi membiayai pengajian tersebut diputuskan selepas Majlis Agama Islam Kelantan melantik beberapa buah universiti awam tempatan menjalankan kajian ke atas kadar kemiskinan di Kelantan dalam usahanya untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negeri itu.

Ternyata apa yang telah diusahakan oleh MAIK dan Tengku Dr Muhammad Faiz adalah sesuatu yang berpandangan jauh, mempunyai visi yang jelas dan lain dari kebiasaan.

Penulis sebut lain dari kebiasaan kerana MAIK menaja pelajar melanjutkan pelajaran mereka di tiga buah universiti paling berprestij bukan sahaja di Britain tetapi juga di dunia.

Ketiga-tiga universiti berkenaan menduduki ranking 10 universiti terbaik dunia.

Jadi dalam usaha MAIK untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat miskin di negeri itu, ia telah melakukan sesuatu yang benar-benar tepat dan kena pada tempatnya iaitu dengan memastikan mereka keluar dari kemiskinan melalui pendidikan yang berkualiti tinggi.

MAIK sebenarnya sangat beruntung dipimpin oleh seorang yang terpelajar sepertimana Tengku Dr Muhammad Faiz apatah lagi beliau sendiri adalah graduan dari London College University dan juga London School of Economic yang juga sebuah institusi pengajian tinggi yang terkenal dan bermutu tinggi.

Hasil daripada pendedahannya di kedua-dua buah universiti itulah akhirnya beliau berusaha untuk memastikan anak-anak kelahiran negerinya sendiri diberi peluang yang sama jika mereka berkelayakan dan berpotensi untuk berkembang sebagai seorang yang terpelajar.

Dan oleh kerana latar belakang pendidikannya itulah maka sejak Tengku Dr Muhammad Faiz mengetuai MAIK, beliau telah melakukan tranformasi yang sangat berkesan dengan memberi fokus kepada lima teras utama - yang kesemuanya berkaitan dengan isu kemiskinan dan juga taraf hidup masyarakat kebanyakan Kelantan.

Lima teras itu ialah bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pekerjaan dan juga latihan kemahiran untuk rakyat yang tidak berkemampuan.

Maka benarlah kata orang, sebaik-baik pelaburan adalah pelaburan dalam bidang pendidikan dan berlatar belakangkan pendidikan yang baik, Tengku Dr Muhammad Faiz memahami akan keperluan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain