suria

Mahkamah Benar Enam Anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Jadi Pencelah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa membenarkan enam anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 menjadi pencelah dalam saman difailkan oleh kerajaan terhadap pengerusi bersama Bersih 3.0 Datuk S. Ambiga dan lapan yang lain berhubung perhimpunan Bersih 3.0.

Hakim Datuk John Louis O'Hara membenarkan permohonan mereka selepas pihak kerajaan, diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, menarik balik bantahan awalnya terhadap permohonan mereka untuk menjadi pencelah.

Dengan ini, keenam-enam mereka juga menjadi defendan dalam saman itu.

Hakim O'Hara menetapkan 30 Oktober bagi pengurusan kes untuk pihak-pihak menyediakan kertas mahkamah masing-masing.

Kerajaan memfailkan saman pada 15 Mei terhadap 10 defendan iaitu Ambiga, Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, K. Arumugam, S. Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon, Andrew Khoo dan Haris Fathillah Mohamed.

Bagaimanapun, pada 10 Ogos, ia mengeluarkan nama Haris Fathillah atas alasan dia bukan anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0.

Kerajaan menuntut pampasan khas berjumlah RM122,000 sebagai kos untuk membaiki kenderaan polis yang rosak, kos lain, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ia juga memohon deklarasi bahawa para defendan, sebagai penganjur perhimpunan Bersih 3.0, telah melanggar Seksyen 6 (2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012, di mana mereka bertangggungjawab, antara lain, memastikan perhimpunan itu tidak mendatangkan kerosakan terhadap harta benda awam.

Dalam kenyataan tuntutannya, kerajaan juga menyatakan perhimpunan di kawasan sekitar Dataran Merdeka bertukar menjadi ganas apabila peserta merempuh penghadang polis.

Katanya pada hari berkenaan, polis ditempatkan di sekitar kawasan itu untuk memastikan peserta perhimpunan tidak melanggar perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret pada 26 April, yang melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka dan orang ramai hadir di kawasan itu atau mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan bantahan antara 28 April dan 1 Mei tahun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain