suria

Krisis Air S'gor: 'Siren Merah' Di Loji Lawan 'Lampu Hijau' Kerajaan Pusat

KUALA LUMPUR: 'Air untuk kehidupan' - hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Tanpa air, maka tidak lengkaplah kehidupan makhluk di muka bumi ini.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang sinonim dengan isu atau permasalahan air.

Di mana-mana ada air. Hujan mencurah turun dari langit boleh dikatakan saban hari. Di negara kita, tiada gurun atau musim kemarau yang panjang.

Ia adalah satu rahmat yang harus disyukuri oleh setiap seorang daripada kita rakyat negara ini.

Secara umumnya, kita juga bebas mandi lebih daripada sekali setiap hari, bebas menadah air ke dalam periuk untuk memasak makanan kegemaran dan tidak perlu berfikir dua-tiga kali untuk ke tandas kerana bimbang air tidak keluar dari muncung paip.

Kita juga dapati, pusat mencuci kereta wujud di mana-mana seolah-olah tiada langsung tanda-tanda yang kita sedang berhadapan dengan krisis air yang meruncing.

HAKIKAT & REALITI

Namun pada masa yang sama, kita juga didedahkan kepada fakta betapa penduduk di ibu negara, Lembah Klang, Putrajaya dan Selangor seperti sedang berada dalam krisis air yang akan memuncak menjelang tahun 2014 nanti.

Apakah benar ini satu realiti atau sekadar satu gimik untuk menakut-nakutkan pengguna? Wajarkah penduduk di ketiga-tiga lokasi ini melatah atau panik dengan pendedahan ini.

Perlukah mereka berpindah keluar dari tempat tinggal mereka sekarang kerana bimbang kediaman mereka tiada bekalan air atau risau kediaman mereka menjadi mangsa catuan air dalam beberapa tahun lagi?

Dan apakah benar, situasi bekalan air terawat tidak cukup untuk kegunaan pengguna akan berlaku sekiranya tiada inisiatif segera diambil oleh pihak bertanggungjawab untuk menangani kemelut ini?

CARA MENGATASI

Demi kesejahteraan pengguna, yang paling penting, perlu ada kerjasama dan persefahaman di antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan untuk mencari alternatif kepada kegawatan ini.

Sebenarnya, masalah bekalan air terawat tidak mencukupi yang mungkin akan berlaku bukan disebabkan salah sesiapa atau mana-mana pihak kerana ia sebenarnya berkait rapat dengan faktor semulajadi serta peningkatan jumlah penduduk terutama di sekitar Lembah Klang dan K.Lumpur yang secara tidak langsung menyebabkan permintaan terhadap air terawat turut meningkat.

Ia juga tiada kaitan dengan pengurusan industri air negeri yang melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

PERLUKAH PENGSTRUKTURAN SEMULA?

Satu kaedah yang dilihat terbaik untuk mengelak daripada berlakunya krisis air di tiga lokasi ini menjelang 2014 ialah dengan cara melaksanakan penstrukturan semula untuk masa depan bermula dari sekarang.

Dalam konteks ini, tidak salah rasanya jika kita, terutama penduduk-penduduk di kawasan terlibat memberi perhatian terhadap cadangan pembinaan loji baru, Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) oleh kerajaan Pusat yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun setengah untuk disiapkan.

Begitu juga Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor (PPAMPS) yang telah dilaksanakan pada awal 2010.

Pelaksanaan projek ini perlu disokong dengan merujuk kembali Kajian Sumber Air Negara 2000 yang mendapati bekalan air tidak lagi mencukupi pada tahun 2014.

Kawasan perumahan dan perindustrian yang tumbuh pesat terutamanya di Lembah Klang seolah-olah memberi isyarat kepada kita bahawa pembinaan Langat 2 perlu dilakukan segera, tanpa perlu ditangguh lagi untuk kebaikan masa panjang.

Dengan adanya beberapa kawasan yang sudah terjejas dan mengalami krisis air sejak kebelakangan ini, kita seolah-olah nampak siren merah berkelip-kelip tanda cemas meminta sesuatu dilakukan untuk menyekat krisis air yang disebut-sebut menjadi realiti.

MANA LEBIH MURAH & MENJIMATKAN

Dari segi kos, kedua-dua projek ini dilihat menelan kos operasi paling ekonomik iaitu RM8.9 bilion berbanding cadangan kerajaan Negeri untuk menyalurkan air dari Tasik Kenyir ke Langat melalui rizab saluran gas dengan jarak lebih dari 500km yang melibatkan kos modal pemasangan paip sahaja bernilai RM11.3 bilion.

Jarak dari Tasik Kenyir ke Langat 2 melalui rizab saluran gas kira-kira 500 kilometer (km) dan kos dikira berdasarkan kos pemasangan dua batang paip bersaiz tiga meter sepanjang 11.9 km di bawah PPAMPS iaitu RM269 juta. Kos stesen pam dan operasi belum diambil kira lagi.

Maklumat mengenai perkara ini telah dibincangkan dalam Forum Mengenai Isu Bekalan Air Selangor anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini.

Cadangan menurunkan purata air tanpa hasil (NRW) juga dilihat menelan kos yang tinggi dan memerlukan masa dengan mengambil kira kos penurunan NRW sebanyak RM7.2 bilion yang hanya mampu membekalkan sebanyak 510JLH (juta liter sehari) air dalam jangka masa tiga tahun dari sekarang berbanding Langat 2 (Fasa 1) dengan 1,130JLH air bermula tahun 2013 hingga 2030.

PENGAJARAN DARI SENARIO INI

Senario ini menunjukkan, kita sebagai pengguna tidak harus bergantung kepada tiga sungai utama di Selangor iaitu Sungai Selangor, Sungai Semenyih dan Sungai Langat sahaja yang selama ini menjadi sumber utama untuk mendapatkan air terawat.

Dengan 34 loji rawatan air yang terdapat di Selangor, K.Lumpur dan Putrajaya yang boleh membekalkan sebanyak 4,436JLH kapasiti air yang boleh diagihkan kepada pengguna dalam sehari, tidak ada sebab mengapa pembinaan Loji Langat 2 tidak harus disokong oleh semua pihak.

"SPAN mengunjurkan bahawa bekalan air yang dikeluarkan oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi permintaan air sehingga penghujung tahun 2012 sahaja," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KeTTHA.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui baru-baru ini berkata isu penstrukturan semula industri air selangor perlu disegerakan memandangkan pada 2014, dijangkakan krisis air akan memuncak di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya jika perkara ini tidak di atasi segera.

"Kalau kami ada kelulusan (kerajaan Negeri), esok lusa boleh mula, kita dah ada peruntukan dan reka bentuk pun sudah siap.

"Demi kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, besar harapan saya supaya kerajaan negeri tidak menjadikan isu penstrukturan semula tarif harga sebagai barang tawaran untuk melaksanakan projek ini," beliau dipetik sebagai berkata.

Ini jelas menunjukkan kerajaan Pusat awal-awal lagi bersedia untuk menangani krisis ini dan tidak teragak-agak memberi 'lampu hijau' sebagai tindak balas terhadap kerlipan 'siren merah' yang merupakan isyarat cemas di loji-loji rawatan air sedia ada di Selangor dengan membina loji baru untuk keperluan pengguna.

Sememangnya penangguhan Langat 2 akan menyebabkan bekalan air tidak mencukupi kerana rizab bekalan semakin berkurangan disebabkan permintaan.

Ini belum diambil kira lagi gangguan bekalan air yang akan berlaku dari semasa ke semasa atas sebab-sebab kerosakan pada batang paip, ketirisan dan juga malapetaka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain