suria

Klip Video Anti-Islam Masih Di YouTube

PETALING JAYA: Klip video kontroversi Innocence of Muslims masih boleh ditonton di laman YouTube oleh pengguna internet di Malaysia walaupun langkah untuk menyekat akses kepada kandungan tersebut dilakukan.

Berikutan sekatan oleh enjin carian gergasi Google, yang memiliki YouTube, beberapa pautan kepada klip video itu memaparkan mesej: "Kandungan ini tidak boleh didapati di negara anda kerana aduan undang-undang."

Bagaimanapun, sehingga pukul 7.30 malam Isnin, beberapa salinan lain klip berdurasi 14 minit yang disiarkan di laman web perkongsian video itu masih boleh ditonton tanpa sekatan oleh pengguna internet tempatan.

"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah diminta untuk membuang kandungan dan Google telah mengambil tindakan ke atasnya tetapi masalah yang muncul sekarang ialah salinan video itu sedang dibuat dan dimuat naik di YouTube," kata sumber industri internet yang biasa berhadapan dengan situasi berkenaan.

Sumber itu berkata sesuatu yang sukar untuk menghapuskan semua salinan jika jumlah yang besar dimuat naik.

Sekatan kandungan klip Innocence of Muslims dibuat berikutan permintaan SKMM pada Sabtu lalu ekoran kemarahan masyarakat Islam dunia terhadap penyiaran video yang menghina Nabi Muhammad.

Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof ketika dihubungi bagaimanapun enggan menyatakan langkah yang bakal diambil syarikat itu namun menyatakan jaminan bahawa Google akan memandang berat semua permintaan SKMM.

"Apabila kita diberitahu bahawa sesuatu video itu menyalahi undang-undang negara terbabit, kita akan menyekat akses kepadanya selepas kajian menyeluruh dijalankan," katanya ketika dihubungi The Star.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain