suria

Tiada Sekatan Terhadap Pekerja Sabah, Sarawak, kata Singapura

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM) pada Ahad berkata, tiada sekatan dikenakan terhadap pekerja dari Sabah dan Sarawak untuk bekerja di republik itu.

"Kami terus meluluskan permit kerja untuk pekerja dari Sabah dan Sarawak yang didapati layak dan sesuai bekerja di Singapura," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini.

Katanya, seperti negara lain, termasuk Malaysia, rakyat asing diwajibkan memenuhi kriteria tertentu untuk layak bekerja di Singapura.

Kementerian itu berkata, ia mengetatkan kriteria berhubung pengambilan dan pengekalan tenaga kerja asing sejak beberapa tahun lepas untuk memperlahankan pertumbuhan tenaga kerja asing dan bagi menggalakkan pertumbuhan berasaskan produktiviti.

"Hasilnya, terdapat pekerja dari pelbagai negara lain, bukan saja dari negeri di Malaysia Timur, yang mungkin tidak memenuhi kriteria serta syarat ketat yang ditetapkan untuk mereka bekerja di Singapura," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan media baru-baru ini tentang dasar baru Singapura yang menyekat pribumi dari Sabah dan Sarawak bekerja di negara berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain