suria

Pemuda PAS Sokong Sekat Klip AntiIslam

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong tindakan laman perkongsian video, YouTube menyekat pengguna di Malaysia daripada menonton klip filem kontroversi Innocence of Muslims.

Ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, tindakan tersebut wajar terutamanya bagi menghentikan provokasi berterusan yang mencetus kemarahan masyarakat Islam dunia.

"Tindakan YouTube menyekat klip filem tersebut di Malaysia sangat wajar, seharusnya tindakan yang sama perlu diteruskan di seluruh dunia.

"Filem tersebut merupakan penghinaan yang sangat dahsyat kepada umat Islam, bukan sahaja Youtube, Google juga seharusnya menghapuskan carian tentang klip filem berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini apabila Google Malaysia menyekat akses laman YouTube klip video Innocence of Muslims sebagai respons kepada aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bermula hari ini (Isnin).

Dalam pada itu Nasruddin berkata Dewan Pemuda PAS akan mengadakan demonstrasi aman di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat ini.

"Kami telah memulakan bantahan sejak minggu lalu iaitu di masjid-masjid seluruh negeri dan kemuncaknya adalah Jumaat ini selepas solat Jumaat di hadapan keduataan AS," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai hasrat Pemuda Umno untuk mengadakan bantahan secara bersama, Nasruddin berkata pihaknya belum menerima sebarang pelawaan.

"Kami tidak menerima apa-apa pelawaan daripada Pemuda Umno untuk mengadakan bantahan itu bersama-sama. Ia hanya dinyatakan di akhbar sahaja," katanya.

Artikel Lain