suria

Pembangkang Tuntut Dedah Laporan Tragedi Kematian PTD

PETALING JAYA: Parti Keadilan rakyat (PKR) menuntut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendedahkan laporan berhubung tragedi malang yang menimpa pelatih Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sama ada berpunca daripada kemalangan ataupun wujud elemen kecuaian.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun menyambut baik arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa agar JPA dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal PTD.

"Dengan berulangnya kematian seorang lagi anggota PTD membangkitkan persoalan adakah pihak JPA benar-benar belajar daripada tragedi yang lepas dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"JPA harus mendedahkan kepada umum sama ada kes Aldy merupakan kemalangan ataupun wujud elemen kecuaian," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai insiden seorang kadet PTD, Aidy Hasmi Abu Hassan, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang.

Sebelum ini pada Mei 2010, seorang pelatih PTD Norhashimah Wahid, 31, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru semasa menjalani latihan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Norhashimah ketika itu sedang mengikuti latihan Modul Jati Diri di Jugra, Banting, selama tujuh bulan sebelum disahkan jawatan sebagai PTD dan telah tiga bulan mengikuti latihan itu.

Mengulas lanjut Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia mahu JPA menjalankan kajian menyeluruh mengenai modul latihan bersesuai untuk pelatih PTD agar insiden malang berkenaan tidak berulang.

"Saya tidak mempertikaikan perlunya pegawai PTD kita cergas dari segi fizikal dan mental. Namun ramai peserta kursus-kursus ini mempersoalkan mengapakah perlu latihan fizikal yang terlalu mencabar berbanding dengan tugas mereka sebagai PTD.

"JPA juga harus memikirkan semula secara serius dan menyeluruh latihan buat PTD agar lebih relevan dengan keadaan semasa dan memastikan keselamatan PTD terpelihara," katanya.

Artikel Lain