suria

Pegawai PTD Mati Lemas Ketika Jalani Latihan

PEKAN: Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, dekat sini Ahad. Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital Pekan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa dan 243 pegawai yang lain sedang menjalani latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai Miang, dekat sini.

"Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam air dan jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu terus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya.

Yahya berkata Allahyarham Aldy Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem tersebut dari 3 hingga 28 September ini.

Difahamkan mangsa, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

"Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut," katanya.

Beliau turut dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Jalan Sultanah, Alor Setar malam semalam untuk urusan pengebumian.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air ketika latihan itu diadakan.

"Ketika dia jatuh, jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy Hasmi sudah berbuih," katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Intan menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform.

Ini, katanya berikutan insiden kematian Aldy Hasmi ketika sedang menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang.

Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.

"Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Ali melalui laman Facebooknya. - BERNAMA

Artikel Lain