suria

Nelayan Thailand Lemas Selepas Jatuh Bot

KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan rakyat Thailand mati lemas setelah terjatuh daripada sebuah bot di pelabuhan perikanan Chendering di sini, Ahad.

Mayat Mat Esor, 38, ditemui pada pukul 7.30 malam oleh Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak jauh dari lokasi lelaki itu dilapor terjatuh.

Mat Esor, yang berasal dari Narathiwat itu dikatakan terjatuh daripada bot pada pukul 5 petang ketika dia dan dua lagi rakannya baru selesai menjalankan kerja memunggah pukat.

Seorang nelayan, Hafizi Hashim, 20, berkata ketika kejadian dia berada di atas bot yang sama dan sedang memunggah ikan ke pelabuhan apabila melihat nelayan Thailand itu berjalan menuju ke belakang bot sebelum terjatuh ke dalam laut.

"Melihat kejadian itu kami cuba mencari dari permukaan (air) namun gagal menemuinya dan kami menelefon pihak bomba dan penyelamat," katanya kepada pemberita di sini.

Penolong Pegawai Penguasa Bomba Negeri Roslan Mat Din berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan dalam keadaan hujan lebat dan mayat Mat Esor ditemui lima minit selepas operasi dijalankan.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain