suria

SKMM Minta Google Buang Klip Video Anti-Islam

PETALING JAYA: Pelopor enjin carian internet - Google menerima aduan rasmi dari Malaysia yang meminta membuang klip filem kontroversi anti-Islam Innocence of Muslims daripada laman YouTube.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, mereka menerima aduan dan permintaan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mengesahkan kedua-dua pihak sudah mengadakan perbincangan untuk tindakan selanjutnya.

"Google berpegang teguh kepada undang-undang di setiap negara. Jadi (kita) akan bertindak berdasarkan aduan rasmi daripada badan kawal selia," katanya.

Zeffri bagaimanapun berkata badan kawal selia berkenaan perlu menyatakan butiran undang-undang atau peraturan kecil sedia ada yang dilanggari apabila membuat aduan.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah membuat aduan rasmi kepada Google.

"Kami telah berbincang dengan Google dan meminta mereka untuk membuang klip berkenaan," katanya.

Sedutan filem, Innocence of Muslims arahan Sam Bacile, yang disiarkan di YouTube mencetuskan kontroversi apabila menggambarkan Nabi Muhammad tidur dengan ramai wanita, pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.

Filem tersebut turut dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti Islam, Terry Jones yang pemah mencetuskan kontroversi cuba membakar Al-Quran untuk kempen membenci Islam di Amerika Syarikat.

Artikel Lain