suria

Polis Jumpa Sembilan Motosikal Curi Di Bayan Lepas

GEORGE TOWN: Polis menemui sembilan motosikal curi selepas menyerbu sebuah pondok di Bukit Papan, Bayan Lepas dalam Ops Lejang petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata hasil risikan dan maklumat awam, polis mendapati kesemua motosikal itu 'dibeli' beberapa lelaki warga Myanmar yang tinggal di pondok berkenaan. "Kesemua warga Mynmar yang tinggal dalam pondok itu telah melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata tujuh daripada motosikal itu berada dalam keadaan baik dan susulan penemuan itu polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes curi motosikal yang dilaporkan di Daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Tengah sejak November 2007 hingga Disember 2012.

Hatta berkata polis masih mengesan kesemua warga asing terbabit dan siasatan awal mendapati mereka bekerja di ladang getah dan kebun sayur di sekitar Bukit Papan dan membeli motosikal itu dari sindiket curi motosikal dengan harga murah. Katanya terdapat motosikal itu menggunakan nombor plat palsu dan ada nombor plat yang pernah dilaporkan hilang dan warga Mynmar itu dipercayai membeli motosikal curi dari sindiket tempatan.

"Ini modus operandi pertama motosikal curi dijual kepada orang asing untuk kegunaan bekerja. Biasanya sindiket curi terbabit terus melerai komponen motosikal dan menjualnya di kedai alat ganti," katanya.

Hatta berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barangan curi yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain