suria

PM Harap Hubungan Malaysia-Britain Terus Kukuh

KUALA LUMPUR: Bersempena lawatan diraja oleh Duke dan Duchess of Cambrige ke Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan harapan hubungan akrab antara Malaysia dan Britain akan terus kukuh.

"Daripada segi ekonomi, kebudayaan dan politik, hubungan dua hala kedua-dua negara telah berjaya mengharungi pelbagai ujian. Dan ia dilakukan dengan tepat kerana sejarah dan nilai-nilai kita saling berkaitan.

"Kedua-dua negara kita percaya pada kuasa kesederhanaan, kekuatan kebebasan awam, serta, perlunya menjana kemakmuran dengan mewujudkan ekonomi-ekonomi yang terbuka dan berpandangan jauh," kata Najib dalam artikel beliau bertajuk "Why the Duke and Duchess of Cambridge's Visit to Malaysia Shows the Strength of Anglo-Malaysian Relations" yang disiarkan dalam portal berita online Huffington Post pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata: "Bersempena dengan ulang tahun Jubli Emas pemerintahan baginda Ratu, ini amat sesuai. Selain meraikan tempoh pemerintahan baginda yang mengagumkan, kita juga patut meraikan hubungan sejarah, sama ada bersifat kecil atau besar, antara kedua-dua negara."

Mengenai lawatan Putera Willam dan Catherine ke Malaysia, Najib berkata: "Pasangan Diraja ini adalah duta yang hebat bagi UK dan saya gembira dapat meluangkan masa bersama baginda berdua pada majlis makan tengah hari." "Kami berbincang mengenai hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara kami, kerana telah berlaku banyak perubahan dalam tempoh enam dekad sejak Ratu menaiki takhta - awalnya Malaya menjadi Malaysia apabila kami memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1957 - hubungan ini, berakar umbi dalam sejarah, kekal kukuh," kata Najib.

Pasangan diraja itu yang tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi empat hari, berlepas ke Sabah petang ini untuk lawatan dua hari.

Baginda berdua akan berlepas ke Kepulauan Solomon pada Ahad Islands untuk meneruskan lawatan.

Malaysia merupakan destinasi kedua selepas Singapura, dalam program lawatan sembilan hari ke Timur Jauh, sebagai wakil kepada Ratu Elizabeth II sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan baginda Ratu. -BERNAMA

Artikel Lain