suria

Pembantu AM Kolej Jururawat Maut Dihempap Traktor

JITRA: Seorang pembantu am di Kolej Kejururawatan Alor Setar maut setelah dihempap traktor yang dipandunya ketika mengambil upah membersih kebun getah di Kampung Palas, Lahar dekat sini Jumaat.

Kejadian pada 6 petang itu berlaku apabila traktor yang dipandu Nor Azman Abdul Majid, 32, dari Kampung Paya Pahlawan, Asun dekat sini tergelincir ke dalam parit sebelum terbalik dan menghempap mangsa sehingga mengalami kecederaan dalaman dan patah pinggang.

Bapa mangsa, Abdul Majid Mohd Noh, 62, berkata, traktor yang dipandu Nor Azman terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira satu meter dan usaha anaknya untuk menaikkan traktor gagal menyebabkan jentera tersebut terbalik.

Abdul Majid berkata, kejadian mengerikan itu turut disaksikan anak bongsunya Shahzual, 15, yang berada di tempat kejadian dan hanya mampu melihat jentera seberat enam tan itu menimba abangnya.

Dia segera bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan perkara itu oleh saudaranya kira-kira pukul 8 malam dan setelah sampai di tempat kejadian, anaknya sudah tidak bernyawa.

Katanya, Pasukan Bomba dan Penyelamat Jitra hanya dapat masuk ke tempat kejadian kira-kira pukul 8.30 malam kerana sukar untuk melalui jalan kebun getah manakala traktor tersebut berjaya dialih pukul 11 malam.

Abdul Majid berkata, mayat anaknya itu kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kunluang dekat sini.

Nor Azman mengambil upah membersihkan kebun getah penduduk kampung pada cuti hujung minggu sebagai pendapatan sampingan untuk menyara isteri dan dua anak perempuan berusia 13 dan tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Artikel Lain