suria

Pemandu Lori Maut Tertimbus Tanah

HULU TERENGGANU: Seorang pemandu lori maut manakala rakannya cedera ditimbus tanah di Kampung Kuala Ping di sini, Sabtu.

Penolong Penguasa Bomba Terengganu, Roslan Mat Din berkata, dalam kejadian kira-kira 4.50 petang itu, mangsa Mohd Azharulnizam Daud, 24, dan rakannya Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19, sedang melihat adik mangsa Mohd Zuraime, 17, menjalankan kerja-kerja menarah tanah dengan menggunakan jengkaut.

"Tiba-tiba tanah setinggi 10 meter runtuh dan menghempap mereka. Adik mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala rakan mangsa yang patah tangan kiri berjaya diselamatkan orang ramai yang menyedari kejadian itu," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Beliau berkata, 11 anggota bomba serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan Wakaf Tapai diarah ke tempat kejadian setelah menerima laporan pada kira-kira 4.58 petang.

"Mayat mangsa dijumpai kira-kira pukul 5.55 petang dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat manakala rakan mangsa turut menerima rawatan di hospital yang sama," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Siti Esah Jusoh, 48 berkata, kali terakhir beliau bertemu anaknya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, dua hari lepas.

"Arwah merupakan anak yang baik dan sentiasa mengambil berat tentang saya dan ahli keluarga yang lain," katanya dengan nada sebak. - BERNAMA

Artikel Lain