suria

Malaysia Kutuk Filem Hina Islam & Sedih Kematian Diplomat AS Di Libya

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya video anti-Islam 'Innocence of Muslims', yang menjadi pusat protes anti-Amerika di Mesir dan Libya yang menyebabkan kematian Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Libya Christopher Stevens dan tiga kakitangannya di Benghazi.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata dalam konteks tersebut, Malaysia berpendapat bahawa pandangan melampau dan keganasan tidak boleh diterima sama sekali. "Keganasan akan dibalas dengan keganasan. Maka, untuk memupuk toleransi dan persefahaman, suara yang waras dan sederhana perlu menengelamkan suara kebencian dan ekstrim yang dilaung-laungkan oleh kelompok pelampau.

"Dalam mempromosikan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Malaysia ingin melihat suara-suara sederhana membidas persepsi negatif terhadap semua agama dan kepercayaan.

"Gerakan ini juga menyokong amalan kesederhanaan sebagai nilai penting mengatasi semua bentuk ekstremisme. Dalam masyarakat global, kita semua harus bekerjasama memahami dan menghormati agama dan amalan masing-masing supaya kita dapat hidup dalam suasana aman antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Anifah berkata Malaysia juga memandang berat dan sedih dengan kehilangan nyawa Stevens serta tiga kakitangannya dan merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan AS dan anggota keluarga kesemua mangsa berkenaan.

Beliau berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang jenis pembunuhan dan di dalam kes itu, seorang wakil diplomatik dari sebuah negara berdaulat yang dilindungi di bawah Undang-Undang Antarabangsa menjadi mangsa.

Katanya perbuatan itu harus dikutuk oleh masyarakat antarabangsa sebagai perbuatan yang boleh mencetuskan konfrontasi dan konflik yang serius di rantau tersebut dan lain-lain tempat di dunia.

Justeru, Anifah berkata adalah penting bagi semua pihak memahami dan menghormati agama dan kepercayaan orang lain.

"Kita mesti mengelak daripada memperkecil-kecilkan dan menghina mana-mana aspek agama yang boleh memudaratkan nyawa orang tidak bersalah," katanya.

Stevens terbunuh berikutan insiden bangunan kedutaan AS di bandar berkenaan, diserang pada Rabu lepas. -BERNAMA

Artikel Lain