suria

Lelaki Disyaki Simbah Asid Terhadap Kekasih Bekas Isteri

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden menyimbah asid terhadap seorang lelaki di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal bersama teman wanitanya yang merupakan bekas isteri suspek dipercayai telah dirempuh dari belakang oleh suspek yang juga menunggang motosikal.

Selepas perlanggaran tersebut, kedua-dua pihak memberhentikan kenderaan masing-masing dan suspek yang berang telah mengeluarkan sebotol cecair yang mengandungi asid lalu menyimbah ke arah mangsa sebelum melarikan diri," katanya dalam sidang media di Balai Polis Kepong di sini, Jumaat.

Zakaria berkata mangsa yang cedera pada bahagian muka, leher, dan mata kiri menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil.

Polis sedang menyiasat kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Menurut Zakaria, suspek dipercayai cemburu terhadap mangsa kerana mengadakan hubungan dengan bekas isterinya. -BERNAMA

Artikel Lain