suria

Dadah Bercampur Pasir Dirampas, Empat Warga Iran Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis syabu yang dicampur pasir dan menahan empat lelaki warga Iran dalam satu serbuan di sebuah kilang di Puchong, Selangor, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan itu polis turut merampas 13 tong plastik berisi campuran pasir dan dadah jenis syabu.

Beliau berkata sindiket dadah antarabangsa itu menggunakan modus operandi baharu iaitu menyerapkan cecair dadah syabu ke dalam pasir terlebih dahulu sebelum diseludup masuk ke dalam negara melalui laluan udara dan akan diproses semula sehingga dadah dapat diperoleh.

"Kesemua mereka telah beberapa kali memasuki negara ini sejak tahun lepas... Siasatan awal polis mendapati di dalam setiap tong terdapat satu bungkusan plastik berisi pasir dalam keadaan lembab yang disyaki telah diserap dengan cecair dadah. "Ujian awal mendapati berat keseluruhan pasir dengan campuran cecair dadah syabu itu berjumlah 861.5 kilogram," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, Jumaat.

Noor Rashid berkata polis setakat ini tidak dapat menganggar jumlah sebenar dadah yang telah dicampurkan dengan pasir itu, dan pihaknya perlu menghantar semua tong tersebut ke jabatan kimia untuk dianalisa sebelum mendapatkan jumlah sebenar dadah tersebut.

Noor Rashid berkata dadah tersebut berasal dari sebuah negara di benua Amerika Selatan dan telah singgah di beberapa tempat sebelum tiba di Malaysia.

"Kesemua bungkusan tersebut telah didaftar sebagai pasir. Pihak kami masih lagi menyiasat bila bungkusan tersebut tiba di negara ini. "Kilang tersebut dijadikan lokasi simpanan sementara berikutan tiada peralatan untuk memproses dadah ditemui dan sindiket ini dipercayai mempunyai pakar kimia untuk mengasingkan campuran itu," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang berumur antara 31 dan 37 tahun itu direman selama seminggu sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Noor Rashid berkata kejayaan ini adalah hasil maklumat orang ramai yang bekerjasama dengan pihak polis dalam memastikan Polis Diraja Malaysia dapat mengekang kegiatan pengedaran dadah daripada berleluasa. -BERNAMA

Artikel Lain