suria

Wanita Rugi RM1,200 Angkara Jenayah Siber

RAUB: Seorang wanita kerugian RM1,200 selepas membuat pembelian sebuah kamera digital menerusi dalam talian pada 5 September lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata mangsa berusia 20 tahun itu, dikatakan membuat pembelian melalui satu laman web dengan tawaran harga kamera 'Digital Single Lens Reflection (DSLR)' bernilai RM2,500.

"Selepas perbincangan, harga kamera itu dikurangkan kepada RM1,700 dan wanita itu diarahkan membuat pembayaran menerusi dua akaun bank berlainan.

"Dalam akaun pertama, mangsa dikehendaki memasukkan wang berjumlah RM200 dan baki RM1,000 ke dalam akaun kedua," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Mangsa kemudian membuat pembayaran sebanyak RM200 pada 5 September dan sekali lagi pada 8 Sept berjumlah RM1,000.

Wan Mohd Samsudin berkata mangsa dijanjikan barangan tersebut dalam tempoh dua hari penghantaran dan perlu menjelaskan baki RM500 selepas menerima barangan tersebut.

Bagaimanapun sehingga semalam, beliau berkata barangan yang dijanjikan itu masih tidak sampai dan wanita berkenaan mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kita harap agar masyarakat sentiasa berhati-hati sebelum melakukan sebarang transaksi menerusi pembelian barangan secara dalam talian," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain