suria

Rakyat Tanggung Kesan Buruk Jika Taksub Parti Peralat Agama - Shafie Apdal

SIK: Rakyat bakal menanggung kesan buruk jika taksub dengan parti politik yang memperalatkan agama demi kepentingan politik, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya rakyat perlu menilai perkara itu supaya apa yang berlaku di Syria apabila orang Islam sanggup berbunuhan sesama sendiri kerana taksub dengan mazhab masing-masing walaupun ditegah agama, tidak berlaku di negara ini.

Katanya berbeza dengan Umno sebagai tunjang kekuatan Barisan Nasional (BN) yang memartabatkan syariat Islam, PAS sebaliknya membuat fatwa 'bermusim' semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

"Manusia hendaklah diukur melalui perbuatannya bukan apa yang pemimpin cakap sahaja," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sik di Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di sini, Jumaat.

Lebih 800 perwakilan hadir pada mesyuarat itu, termasuk Ketua Umno Bahagian Sik Datuk Mohd Tajudin Abdullah. Mohd Shafie berkata jika BN menang pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, semua rakyat boleh bergantung harap kepada parti itu sebaliknya jika kalah, Islam akan jatuh hina kerana PAS sebuah parti yang tidak boleh diharapkan.

Katanya selain gagal memberi bantuan kepada rakyat, pakatan pembangkang juga tidak layak mentadbir negara kerana sikap mereka yang cuba menonjolkan diri dengan melakukan demonstrasi mempersenda agama dan pemimpin kerajaan serta sultan.

Pada sidang media selepas majlis itu, Mohd Shafie yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Ahli Umno berkata parti itu mengambil kaedah proaktif dengan mendaftarkan kira-kira 500,000 anggotanya yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Beliau berkata kaedah itu termasuk membuat pemutihan senarai ahli bagi memastikan anggota Umno memberi undi sepenuhnya kepada calon yang dipilih pucuk pimpinan.

"Saya yakin BN mampu tawan kembali Kedah kerana sudah ada petanda sokongan rakyat telah kembali kepada BN di negeri ini dan di beberapa negeri yang dikuasai pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang hanya membelanjakan RM50 juta daripada peruntukan RM350 juta yang diberikan kerajaan pusat bagi membina dan menyelenggara jalan di negeri berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain