suria

Putera William, Kate Diraikan Di Taman KLCC

KUALA LUMPUR: Duke and Duchess of Cambridge Putera William dan Catherine Middleton meneruskan lawatan rasmi mereka di Malaysia pada hari kedua dengan bertemu orang ramai dan menonton persembahan kebudayaan negara ini di Taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Pasangan diraja ini yang tiba di taman berkenaan pada pukul 10.36 pagi disambut dengan sorakan orang ramai dan ratusan media tempatan dan antarabangsa yang menunggu seawal pukul 8.30 pagi untuk melihat pasangan ini dari jarak dekat.

Sebaik tiba di perkarangan taman dengan menaiki 'buggy', pasangan ini disambut dengan bunga manggar dan sireh junjung yang menjadi lambang adat dan budaya masyarakat Melayu.

Rata-rata peminat pasangan ini dan orang ramai teruja melihat kejelitaan Kate dan ketampanan William ditambah riak wajah ceria mereka dalam kunjungan bersejarah mereka ke negara ini.

Sambil diiringi anakanda Yang di-Pertuan Agong Tunku Puteri Intan Shafinaz ketika berjalan dalam program 'walkabout' ini, pasangan ini tidak pernah lepas melemparkan senyuman kepada mereka yang hadir.

Sesekali, Putera William yang mengenakan kot hitam dan isterinya Kate yang mengenakan gaun paras lutut putih melambai-lambai ke arah mereka yang hadir.

Selain orang awam, program terbuka ini turut dihadiri para pelajar dari sekolah tempatan dan antarabangsa.

Kebanyakan daripada mereka memanggil nama Kate dan William ketika pasangan ini lalu di hadapan mereka.

Mereka turut mengibarkan bendera United Kingdom (UK) dan ada juga yang mengibarkan Jalur Gemilang simbolik hubungan baik kedua-dua negara.

Sepanjang setengah jam meluangkan masa di sini, pasangan diraja ini dihidangkan dengan persembahan kebudayaan dan pertunjukan.

Persembahan pencak silat menjadi 'pembuka' kepada persembahan lain diikuti pertunjukan pakaian tradisional daripada setiap kaum dan suku masyarakat di Malaysia.

Pasangan diraja juga kelihatan teruja dengan budaya negara ini apabila sudi meluangkan masa melihat persembahan permainan alat muzik tradisional yang memainkan lagu rakyat 'Kenek-Keneklah Udang' sehingga selesai.

Selain itu, pasangan pewaris takhta kerajaan British ini turut diperkenalkan dengan fesyen pakaian yang diperbuat daripada batik.

Bagi Theeva, 32, yang masih dalam cuti bersalin dan menunggu di sini sejak awal pagi, kunjungan William dan Kate ke negara ini menjadi memori indah dan sejarah untuk dirinya.

"Saya sangat gembira. Apa yang saya lihat ini adalah sekali dalam seumur hidup saya dan tak mungkin saya melupakannya," katanya.

Bagi dua rakannya, Elina, 32 dan Zuraya, 38, mereka berpendapat apa yang dilihat hari ini oleh mereka bukan sahaja menjadi sejarah peribadi tetapi turut menjadi sejarah buat kedua-dua negara.

"Kami sukakan budaya British dan Melayu. Kedua-duanya begitu istimewa dan kami merasakan antara Malaysia dan UK begitu sinonim, dekat di hati dan semestinya mempunyai hubungan yang erat," kata Elina.

Kedua-dua mereka mengambil cuti semata-mata untuk melihat pasangan diraja ini dari jarak dekat.

Terdahulu, pasangan diraja berkesempatan melawat Masjid Assyakirin KLCC.

Selepas meninggalkan taman KLCC, pasangan ini berangkat ke Pusat Konvensyen KLCC untuk santapan tengah hari anjuran British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC).

Pasangan diraja itu akan menamatkan lawatan ke Malaysia selepas mengunjungi Lembah Danum, sebuah hutan hujan utama di Sabah.

Mereka berdua dijadual berlepas ke Kepulauan Solomon pada Ahad, untuk meneruskan lawatan sembilan hari ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Putera William dan isterinya, Kate mengadakan lawatan khas bagi pihak Ratu Queen Elizabeth II sebagai sebahagian siri lawatan ke beberapa negara Komanwel sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan baginda Ratu.

Artikel Lain