suria

Polis P. Pinang Terima Lapan Laporan Kes Khianat Berunsur Politik

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menerima lapan laporan berhubung kes khianat berunsur politik yang berlaku di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya dalam tempoh sebulan ini.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata kes yang dilaporkan itu melibatkan perbuatan khianat merosakan papan tanda, kain rentang, kenderaan dan pejabat parti politik.

"Empat daripada laporan itu dibuat oleh Parti DAP, dua dari Umno dan masing-masing satu kes oleh Parti Keadilan Rakyat dan Gerakan. Mengikut pecahan, enam daripada kes itu berlaku di Daerah Timur Laut selebihnya di Daerah Barat Daya," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya polis telah menubuhkan pasukan khas bagi melakukan pemantauan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti dan menyiasat kes berkenaan dengan lebih mendalam dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain