suria

Lapan Samseng warga Myanmar Cuba Serang Polis Ditahan

KUALA LUMPUR: Lapan samseng warga Myanmar ditahan selepas cuba menyerang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Taman Kinrara, Puchong dekat sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias berkata kejadian berlaku 9.15 malam ketika 17 Jawatankuasa Teknikal Perlesenan MPSJ itu melakukan pemeriksaan di sebuah premis tanpa lesen yang menjual VCD dan merampas 2,850 keping VCD.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, sebuah kereta jenis Rexton dinaiki lapan lelaki Myanmar itu datang secara tiba-tiba sebelum kesemua mereka mengeluarkan enam jenis senjata antaranya parang, besi, pisau dan sebuah pengunci stereng.

"Mereka mengacukan senjata tersebut ke arah penguat kuasa yang memakai uniform itu. Menyedari diri mereka diancam, pihak polis terus dihubungi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serdang dekat sini, Jumaat.

Abd Razak berkata polis menyiasat kesemua lelaki berumur 20 hingga 30 tahun yang memiliki pasport itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6 kerana membawa senjata berbahaya.

"Mereka direman tujuh hari bermula hari ini.Polis sedang menyiasat pemilik dan premis tersebut yang turut menempatkan sebuah kafe cyber," katanya sambil menambah siasatan awal mendapati kereta Rexton itu milik syarikat terbabit.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki tempatan yang aktif mencuri di stesen minyak semasa bekerja di stesen berkenaan.

"Lelaki berumur 30-an itu ditahan Selasa lepas di sebuah stesen minyak di Kelang. Modus operandinya adalah dengan bekerja sehari sahaja di sesebuah stesen minyak tersebut sebelum melarikan keuntungan yang diperoleh stesen berkenaan.

"Suspek yang sudah berkahwin itu didapati melakukan kegiatan tersebut sejak awal tahun ini melibatkan 25 kes yang sama di Kuala Lumpur, Selangor dan Serdang" katanya sambil menambah nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM70,000.

Beliau berkata lelaki yang melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian itu reman seminggu dan dia akan disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan Seksyen 408 di bawah kesalahan komersil.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Adnan Abdullah yang ditemui pada majlis tersebut berkata polis sedang menyiasat hubungan kedua-dua mangsa samun dan bunuh di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras dekat sini, malam Khamis.

Setakat ini belum ada tangkapan. Kita sedang siasat apa hubungan kedua-duanya, yang merupakan ahli perniagaan, berapa lama mereka tinggal di rumah itu serta masa sebenar kejadian. Rakaman Kamera Litar Tertutup pula tidak dapat membantu (siasatan) kerana ia tidak dipasang semasa kejadian berlaku," katanya.

Leong Kian Sheong, 37, seorang peniaga, dan rakan wanitanya Vivien Wong, 20, ditemui terbaring dalam sebuah bilik pada kira-kira 10.30 malam, dalam keadaan berpakaian lengkap.

Pemeriksaan mendapati ada kesan selongkar di rumah itu dan dipercayai jam tangan, barang kemas dan wang tunai telah disamun. Turut dilarikan dua kenderaan jenis BMW dan Toyota Vellfire.

Mangsa dipercayai dibunuh pagi semalam namun kejadian itu hanya disedari malam tadi. Difahamkan mangsa mengalami beberapa kecederaan pada badan, dan senjata turut ditemui di kediaman itu. -BERNAMA

Artikel Lain