suria

Kes Syaleza Ditangguh 25 Oktober

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini menangguhkan kes melibatkan suami kepada Eksekutif Pentadbiran TV9, Syaleza Jaffar yang ditemui mati dalam keadaan tergantung dalam biliknya kepada 25 Oktober depan untuk sebutan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menetapkan tarikh tersebut setelah Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi memberitahu mahkamah bahawa beliau masih belum menerima laporan kimia dan bedah siasat.

Norazman Bashah, 31, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Eksekutif teknologi maklumat di sebuah syarikat gas dan minyak itu dihadapkan ke mahkamah pada 10 Ogos lalu atas tuduhan membunuh isterinya.

Syaleza, 31, ditemui mati dalam keadaan tergantung di biliknya di Apartment Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 27 Julai lalu kira-kira pukul 7 malam.

Norazman dilaporkan sebagai berkata, menemui mayat isterinya dalam keadaan tergantung di kipas dan menurunkannya sebelum menghubungi polis.

Artikel Lain