suria

TH Hantar Surat Kedua Tambahan Kuota Haji Kepada Kerajaan Arab Saudi

YAN: Tabung Haji (TH) menghantar surat rasmi buat kali kedua kepada kerajaan Arab Saudi, semalam, bagi memohon tambahan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum berkata surat kedua dihantar oleh TH memandangkan tiada jawapan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung penambahan kuota tersebut.

"Kuota sedia ada sebanyak 28,000 orang dan kita pohon lagi 10,000 kuota untuk jemaah Malaysia. Kita akan tunggu jawapan daripada kerajaan Arab Saudi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Serbaguna Guar Chempedak dekat sini, Khamis.

Beliau turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membantu TH dalam usaha mendapatkan kuota tambahan tersebut bagi memberi peluang kepada jemaah Malaysia melakukan ibadah Haji tahun ini.

Katanya disiplin jemaah haji ketika berada di tanah suci diambil kira oleh kerajaan Arab Saudi selain prasarana dan kemudahan sedia ada yang terdapat di sana.

Jamil Khir berkata selain itu, isu jemaah umrah Malaysia tinggal lebih masa di Mekah baru-baru ini turut memberi kesan kepada penilaian kerajaan Arab Saudi dalam meluluskan kuota tambahan tersebut.

Beliau berharap jemaah haji yang bakal berangkat ke tanah suci mulai 17 Sept ini menjaga tingkah laku dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh TH bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Saya harap mereka juga tidak terlibat dalam apa-apa perhimpunan yang boleh menimbulkan syak anggota keselamatan Arab Saudi yang mentakrifkannya sebagai perhimpunan haram," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain