suria

SC Foundation - TMU Hospitlal Tandatangani Mou Beri Khidmat Perubatan Percuma

PUTRAJAYA: Social Care Foundation Malaysia (SC Foundation) dan Taipei Medical University (TMU) Hospital menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan khidmat perubatan percuma bagi pesakit kardiologi dengan penyakit jantung teruk yang layak dari Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata di bawah MoU itu, TMU Hospital bersetuju menyediakan 10 khidmat percuma bagi pesakit jantung yang layak dari Malaysia setiap tahun, selama tiga tahun (30 pesakit untuk tiga tahun).

"Ini adalah khidmat cemerlang daripada TMU Hospital bagi menyediakan khidmat percuma (pembedahan, rawatan, makan dan tempat tinggal kepada pesakit-pesakit dan saudara mara yang mengiringi mereka).

"Kita juga menghargai SC Foundation untuk menanggung yuran pengangkutan yang akan mengurangkan kos rakyat Malaysia ke seberang laut untuk pembedahan.

"Bukan sahaja kita dapat mengurangkan kesesakan dalam negara tetapi kita dapat mengukuhkan hubungan kerja dengan hospital, " katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini, Khamis.

Liow dan pengerusi SC Foundation Tan Sri Robert Phang menyaksikan majlis menandatangani MoU itu.

Pada masa lepas, Malaysia menghantar kira-kira 100 pesakit ke Narayana, India setiap tahun bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu dalam negara.

"Bagaimanapun, kita sebenarnya mengurangkan bilangan memandangkan kita dapat meningkatkan kemudahan dalam negara. Kita ada 10 pusat jantung dalam negara, empat pusat kardio thorasik dan enam pusat kardiologi.

"Kita merancang memperluas pusat jantung pediatrik Institut Jantung Negara dan juga satu lagi unit pusat jantung pediatrik di Hospital Serdang," katanya.

Sementara itu, Robert Phang berkata pesakit SC Foundation dengan penyakit jantung kronik boleh memohon kepada yayasan itu dengan rujukan daripada doktor yang merawat mereka dan mengemukakan permohonan bersama-sama dengan laporan dan sejarah perubatan.

SC Foundation akan membayar tambang penerbangan pergi dan balik ke Taipei dan belanja makan bagi dua anggota keluarga terdekat setiap pesakit jantung yang menerima rawatan di Taipei, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain