suria

Rasuah: Penolong Penguat Kuasa KPDNKK Dipenjara Tiga Tahun, Denda RM20,000

SHAH ALAM: Seorang penolong penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Khamis dihukum penjara tiga tahun dan denda RM20,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memperoleh rasuah RM2,200 daripada seorang peniaga barangan komputer, enam tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan ke atas Azudin Musa, 41.

Azhaniz juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sembilan bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi, tetapi mengarahkan tertuduh membayar dendanya, Khamis.

Azhaniz turut menaikkan jaminan daripada RM6,000 ke RM40,000.

Azudin didakwa memperoleh rasuah RM1,000 daripada Ang Tun Chek sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang dikatakan mengeksport cakera keras tiruan dan tidak menjalankan pemeriksaan terhadap barangan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di luar Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 2 petang, 15 Februari 2006.

Azudin juga didakwa memperoleh suapan RM1,200 daripada Ang bagi tujuan sama di Restoran KFC di KLIA pada 12.40 tengah hari, 18 Mac 2006.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Azudin didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Seramai 15 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Farah Yasmin Salleh sementara tertuduh diwakili peguam Mohammad Arfizi Mohd Ramli. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain