suria

Perhebat Dan JHEV Diminta Kaji Bantuan Kepada Pesara Tentera

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan meminta Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) mengkaji semula bantuan yang boleh diberi kepada pesara tentera yang tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana kebanyakan veteran tidak berpencen terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

"...40 peratus iaitu kira-kira 70,000 daripada 175,000 ialah bekas pesara yang berumur 60 tahun ke atas," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program pembangunan sosiekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia tidak berpencen di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

Justeru, Ahmad Zahid meminta Perhebat dan JHEV meneliti bentuk bantuan yang boleh diberi kepada golongan tersebut.

"Saya melihat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu memikirkan bayaran sekali kepada veteran tidak berpencen, termasuk yang berumur 60 tahun ke atas," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu perbincangan akan dilakukan antara kementeriannya dan LTAT serta Kementerian Kewangan untuk mencari formula yang sesuai untuk melaksanakan bantuan itu.

Mengenai bantuan pinjaman kepada pesara tentera yang ingin memulakan perniagaan, Ahmad Zahid berkata mereka boleh mendapatkan pinjaman sehingga RM50,000 dengan mengemukakan permohonan kepada Perhebat yang kemudiannya akan diusulkan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

"Kepada mereka yang ingin mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada, pinjaman juga boleh dibuat," katanya.

Ahmad Zahid berkata pinjaman itu adalah di bawah peruntukan sebanyak RM50 juta oleh kerajaan kepada Perhebat di bawah Bajet 2012 bagi membantu veteran tentera merubah tahap kehidupan dan sosioekonomi mereka serta keluarga. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain