suria

Pengawal Peribadi Anwar Dakwa Terima Ugutan

PETALING JAYA: Salah seorang pengawal peribadi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dia menerima panggilan berbaur ugutan sempena Jelajah Merdeka Rakyat ke Johor Jumaat ini.

Ugutan itu diterima Ahmad Fauzi Mahpab, 39, pada Selasa apabila menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali menggunakan talian tetap mengancamnya mahu menggunakan senjata api jika dia ke negeri, Johor.

Bimbang dengan keselamatan diri sekiranya beliau ke Johor, Ahmad Fauzi kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Damansara di sini, pada Rabu.

Antara ugutan yang diterimanya berbunyi: 'Hello bro sampai Johor aku tunggu kau dengan pistol'.

Sementara itu, Ahmad Fauzi dalam sidang media turut mempertahankan tindakan rakan setugasnya semasa insiden di Kampung Baru Rim, Jasin Sabtu lalu itu cuma satu prosedur biasa yang diambil bertujuan melindungi prinsipal selepas menerima gangguan dan provokasi.

"Beliau tidak mengacukan pistol, pergerakannya dalam kereta itu disalahertikan," jelasnya yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi Ketua Umum PKR itu selama empat tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah sebelum ini dalam siasatan awal turut mengesahkan tindakan lelaki itu tidak mengancam sesiapa, sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai pengawal peribadi.

Bagaimanapun, Raja Shahrom berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut melalui rakaman video dan gambar yang dirakam orang awam.

Sementara itu Anwar berkata polis setakat ini masih belum memanggilnya untuk memberi keterangan, dan lelaki itu masih berkhidmat sebagai pengawal peribadinya.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut membidas kenyataan Perkasa sebelum ini yang menafikan pihaknya terlibat dalam insiden simbah cat.

Nik Nazmi berkata, penulis blog 'Jiwa Paradox' yang menjadi saksi kejadian serta memiliki video rakaman menjadi bukti kerana dia merupakan Setiausaha Kehormat Gerakan Belia 4B Kawasan Jasin.

"Kami sedang kenal pasti sama ada beliau terlibat secara langsung dalam kejadian simbah cat.

"Kami harap kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi di Johor nanti," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain