suria

Pemuda Umno Kecam Penerbitan Filem Hina Nabi

PETALING JAYA: Pemuda Umno mengecam sekeras-kerasnya penerbitan filem berjudul Innocence of Muslims, arahan Sam Bacile yang menghina, mengutuk dan memaparkan penipuan tentang peribadi dan ajaran Nabi Muhammad SAW, bahkan juga Al-Quran dan para sahabat Baginda.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai umat Islam, penerbitan filem berbentuk provokasi liar, biadap dan mencemar hubungan serta toleransi antara agama tidak seharusnya berlaku.

"Filem tersebut langsung tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan batasan di dalam kebebasan bersuara," katanya.

Sehubungan itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau meminta pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan sewajarnya ke atas penerbitan filem tersebut yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Pada masa sama, Khairy berkata, segala reaksi dan bantahan terhadap filem tersebut hendaklah dilakukan dengan aman sejajar dengan ajaran agama Islam yang mengingatkan penganutnya supaya tidak bertindak melampaui batasan.

"Ingatlah ketika Nabi Muhammad SAW dihalau serta dibaling batu sehingga berdarah ketika berdakwah di Thaif, Baginda tidak membalas tetapi mendoakan agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada penduduk di sana. Inilah qudwatun hasanah atau contoh terbaik daripada Rasulullah SAW sendiri," katanya.

Pada Rabu, duta AS ke Libya, Christopher Stevens terbunuh di Benghazi akibat ditembak dalam insiden bangunan Kedutaan AS di negara itu selepas diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah penerbitan filem tersebut.

Tiga lagi rakyat AS turut terbunuh akibat terkena tembakan.

Tunjuk perasaan berkenaan tercetus ekoran sedutan filem arahan penerbit berusia 52 tahun dari California itu yang disiarkan dalam laman YouTube.

Bacile yang berketurunan Yahudi Israel berkata, Islam merupakan 'kanser' dan dia berharap filemnya itu dapat menunjukkan kepada dunia mengenai kelemahan Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain