suria

Pemilik Butik Dakwa Dipukau Lelaki Arab, Rugi RM7, 000

DUNGUN: Seorang pemilik butik mendakwa dipukau seorang lelaki Arab dan kehilangan RM7,000 dalam kejadian di Taman Permint Indah di sini, lewat petang Rabu.

Nurlida Mohd Nor, 41, ketika ditemui pemberita di sini, hari ini mendakwa lelaki itu melarikan beg tangannya mengandungi wang tersebut yang diletakkan di bawah kaunter bayaran butik miliknya itu.

"Kira-kira pukul 6.30 petang lelaki itu memasuki butik bersama isterinya berusia lewat 30an serta dua anak perempuannya. Lelaki itu berpura-pura memilih beberapa pakaian wanita untuk dihadiahkan kepada adiknya.

"Lelaki itu tanya sama ada saya terima wang dollar Amerika, saya jawab saya terima wang ringgit dan lelaki itu yang bertentang mata dengan saya meminta izin keluar selama 10 minit untuk menukar wang," katanya.

Beliau berkata dirinya kemudian terasa seolah-olah dipukau kerana tidak tahu apa-apa lagi selepas itu, sebelum mendapati keluarga Arab tersebut sudah tiada dalam butiknya.

Nurlida berkata anaknya berusia tujuh tahun yang turut berada di butiknya berkata dia ternampak beg tangan miliknya dibawa lelaki itu namun tidak mampu berkata apa-apa.

"Saya kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira jam 8 malam (semalam)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Saya minta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain