suria

Kerjasama M'sia - China Tumpu Empat Jenayah

PUTRAJAYA: Usaha sama Malaysia dengan China dalam memerangi jenayah rentas sempadan akan memfokuskan kepada empat jenayah -pemerdagangan manusia terutama wanita dan kanak-kanak, penyeludupan dadah, keganasan dan jenayah siber.

Mengumumkan demikian, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin berkata keempat-empat jenayah terbabit bukan sahaja berlaku di negara masing-masing, tetapi memerlukan kerjasama serantau dan di peringkat antarabangsa berikutan sindiket terlibat mempunyai rangkaian di peringkat itu.

"Empat jenayah ini merupakan perkara pokok yang boleh menjejas asas keselamatan di setiap negara.

"Kita perlu mendepaninya pada banyak aspek.

Sementara menanganinya di tempat sendiri, oleh kerana dunia sekarang tanpa sempadan, kita juga perlu menanganinya di negara punca," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Kementerian Keselamatan Awam China Zhang Ju Fen di pejabatnya di sini, Khamis.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) mengenai usaha sama itu pada satu majlis di Beijing, China 2 Ogos lepas.

Ia antara lain menyentuh kerjasama dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, latihan penguatkuasaan undang-undang, penyelidikan saintifik serta pertukaran teknologi.

Hishammuddin berkata keempat-empat jenayah itu dipilih kerana kedua-dua pihak menyedari bahawa ia akan menjadi ancaman besar kepada negara pada masa akan datang dan perlu diatasi sekarang.

Beliau sekaligus memberi amaran kepada mereka yang terlibat bahawa mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana setelah melakukan jenayah itu.

Susulan kerjasama itu, Hishammuddin berkata satu delegasi diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi dan disertai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan ke China 24 Sept nanti.

Turut menyertai delegasi ialah wakil dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Kementerian Penerangan serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen.

Selepas itu, kumpulan kerja dari China akan ke sini bulan depan bagi membincang dan memperhalusi bidang kerjasama itu, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain